BUKU
Assalamualaikum,
Di sini saya akan berkongsi mengenai buku-buku yang saya baca dari masa ke semasa. Semoga manfaat yang saya peroleh dari pembacaan saya turut juga dapat dirasai oleh kalian yang membaca perkongsian saya. Doakan saya istiqamah dalam perjuangan menuntut ilmu serta mengamalkannya. Hanya satu sahaja harapan saya iaitu menjadi seorang manusia yang bermanfaat buat setiap makhluk di sekeliling saya. Insya Allah.
Saya merupakan anak bongsu daripada 4 orang adik beradik. Saya membesar dalam sebuah keluarga yang sederhana. Ayah saya yang telah meninggal dunia 10 tahun yang lalu merupakan peniaga kecil di pasar berdekatan rumah; menjual air tebu. Ibu pula pengasuh bayi sejak saya berumur 1 tahun lagi, dan masih mengasuh kanak-kanak sehingga kini.
Semasa saya membesar, kakak saya yang sulung selalu menghadiahkan saya buku. Buku-buku cerita dongeng dan kisah-kisah Nabi adalah antara buku-buku cerita yang selalu menjadi bahan bacaan saya.
Ketika di sekolah rendah, saya pernah dinobatkan sebagai pembaca Nilam kerana bacaan saya mencapai jumlah yang melayakkan saya memperoleh anugerah Nilam. Ketika di sekolah menengah juga saya terpilih sebagai pembaca Nilam kategori Bahasa Inggeris kerana saya banyak membaca buku Inggeris. Ditambah pula dengan kebolehan saya bertutur dalam Bahasa Inggeris ketika itu, melayakkan saya mewakili sekolah ke pemilihan pembaca Nilam peringkat negeri. Namun, rezeki saya hanya setakat itu kerana di pilihan tersebut, ada beberapa tugasan yang tidak dapat saya laksanakan dengan baik. Saya sedikit pun tidak kecewa kerana ketika itu saya sudah tingkatan 5. Terpaksa meninggalkan sekolah kerana menjadi wakil sekolah bukan lagi kemahuan saya ketika itu.
Tetapi, minat membaca tetap ada sehingga kini malah lebih berkobar-kobar apabila ia disokong oleh keluarga dan teman-teman rapat. Jadi, saya berharap pada diri saya sendiri agar perkongsian ini akan meletakkan saya dalam situasi di mana saya akan terus membaca tanpa ada rasa jemu. Insya Allah.
Saya juga telah membuat perkongsian di media sosial saya mengenai beberapa buku yang telah saya baca. Jika sudi, silalah lawati halaman Facebook saya: Najihah Yusoff atau di Instagram: najihah.yusoff
Sila tinggalkan komen penambahbaikan dan sebagainya kepada jika sudi ya! Terima kasih!
Comments
Post a Comment